BUKIT MERTAJAM, 24 Mac - Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang (JPVPP) merampas 912.5 kilogram (kg) karkas lembu bernilai RM36,500 dalam serbuan berhampiran pasar Bukit Mertajam di sini, pagi tadi.
Pengarahnya Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata karkas itu ditemukan selepas sepasukan anggota penguat kuasa JPVPP menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu pada 6.20 pagi.
“Karkas lembu ini disyaki bukan disembelih di rumah penyembelihan yang diluluskan atau yang dilesenkan. Oleh itu, rampasan dibuat terhadap karkas berkenaan dan dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita hari ini.
Dr. Saira Banu berkata nilai keseluruhan rampasan karkas lembu dan kenderaan itu dianggarkan RM81,500, ia sekali gus merupakan rampasan terbesar oleh pihaknya tahun ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Kaedah 5(3) Kaedah-Kaedah binatang (Kawalan penyembelihan 2009).