
ALOR SETAR, 4 Februari – Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, memberi tumpuan kepada pengukuhan literasi dan numerasi, pencapaian akademik asas serta pembangunan kemahiran berfikir kritis, kreatif dan kompetensi digital murid sebagai persediaan menghadapi cabaran pendidikan masa hadapan.
- JPN Kedah menekankan kesejahteraan sosioemosi dan pembentukan sahsiah murid selain kecemerlangan akademik.
- Pengukuhan literasi, numerasi serta kemahiran berfikir kritis, kreatif dan kompetensi digital dijadikan keutamaan.
- Peningkatan prasarana asas, kemudahan digital dan pemerkasaan pendidik untuk memastikan akses dan kualiti pendidikan.
Usaha itu selari dengan pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026hingga 2035 yang direalisasikan secara terancang dan berfasa, dengan penekanan terhadap peningkatan kualiti pendidikan serta pembangunan murid secara holistik.
Selain kecemerlangan akademik, aspek kesejahteraan sosioemosi, pembentukan sahsiah serta kecergasan fizikal murid turut diberi keutamaan bagi melahirkan generasi
yang beradab, berilmu, berkemahiran, berdaya tahan dan berkeyakinan tinggi, menurut Pengarah JPN Kedah, Abdul Rahim Mat.
“Dalam merapatkan jurang pendidikan, JPN Kedah akan mempergiat penyediaan prasarana asas, kemudahan digital serta capaian internet berkualiti tinggi di semua institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia secara berperingkat dan berkeutamaan.
“Penambahbaikan akses dan ekuiti itu akan dipantau secara berterusan bagi memastikan pelaksanaannya berkesan di peringkat sekolah dan daerah,” katanya dalam satu kenyataan media.
JPN Kedah turut memberi fokus kepada pemerkasaan pendidik menerusi peningkatan kompetensi profesional, pengukuhan tadbir urus serta kerjasama strategik bersama semua pihak berkepentingan.
Pendekatan bersepadu itu diyakini mampu memperkukuh sistem penyampaian
pendidikan negeri agar kekal dinamik, relevan dan mampan.
Melalui pelaksanaan berfokus itu, JPN Kedah komited merealisasikannya dengan berkesan demi masa depan pendidikan negeri Kedah serta kesejahteraan generasi MADANI.