JOHOR, 19 Oktober- Kerajaan Johor menyambut baik Belanjawan 2025 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi menerusi Facebooknya hari ini menyatakan bahawa salah satu langkah penting dalam belanjawan kali ini adalah inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) serta insentif menarik yang dijangka memperkukuhkan daya saing ekonomi negeri.
Onn Hafiz juga menghargai pengumuman mengenai kesinambungan projek pembangunan di Johor termasuk pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Hospital Sultanah Aminah (HSA) Dua dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang akan memberikan manfaat kepada rakyat Johor secara keseluruhan.
"Nantikan juga amanat saya dalam pembentangan Belanjawan Johor 2025 tidak lama lagi, yang tentunya akan menyentuh pelbagai inisiatif, perancangan, bantuan dan pembangunan di mana ia akan memberi manfaat serta keyakinan bahawa kerajaan negeri memandang serius tentang kepentingan rakyat. Insya-Allah," katanya.
Belanjawan 2025 turut menyediakan beberapa insentif untuk Johor antaranya menaik taraf loji rawatan kumbahan serantau dan membina rangkaian paip pembentungan di Sungai Kim-Kim bagi mengurangkan pencemaran air.
Selain itu, terdapat perancangan untuk membina sekolah baharu bagi murid berkeperluan khas serta 44 sekolah baharu termasuk di Sekolah Kebangsaan Bandar Putra Indah dekat Batu Pahat dan penambahbaikan kemudahan di Taman Negara Endau-Rompin serta pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah.