Johor perhebat promosi Tahun Melawat Johor 2026

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin

KOTA TINGGI, 10 Januari – Promosi Tahun Melawat Johor 2026 dipergiat melalui kerjasama strategik agensi Penerangan Negeri dengan penekanan terhadap hebahan awam berimpak tinggi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama strategik agensi Penerangan Negeri dipertingkat untuk promosi Tahun Melawat Johor 2026.
  • Mesyuarat khas bersama pemain industri dijadualkan minggu hadapan untuk menghimpun idea strategik.
  • Promosi merangkumi semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan dengan penyebaran maklumat berimpak tinggi.
  • Keunikan gastronomi dan kemajmukan budaya dijadikan tarikan utama pelancong antarabangsa.

Exco Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin berkata, usaha itu mengambil kira pandangan pemain industri bagi memperkenalkan dan memartabatkan potensi pelancongan negeri.

Satu mesyuarat khas bersama pemain industri dijadualkan minggu hadapan bagi menghimpun idea strategik termasuk mengenal pasti kawasan berpotensi sebagai produk pelancongan.

“Promosi ini bukan hanya melibatkan tourism sahaja, ia melibatkan semua pihak. Kita sama-sama mempromosi Johor. Kalau kita tengok di pihak PBT pun dah mula pasang signboard program-program. Jadi saya harap dengan kerjasama dekat portfolio saya, ia akan bergerak melalui cerita-cerita menarik,” jelas Aznan Tamin.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Ketibaan Pelancong sempena Tahun Melawat Johor 2026 di Jeti Tanjung Belungkor, Kota Tinggi.

Keunikan gastronomi dan kemajmukan budaya terus menjadi kekuatan utama negeri, menarik kehadiran pelancong luar negara.

“Kerana kawasan ini akan menawarkan autentikasi kulineri daripada Johor dan begitu juga dengan adat-adat yang ada di sini. Kita akan saling melihat bahawa ada yang tidak ada di sana, mungkin ada di sini. Ini potensi ke depannya untuk kita saling bertukar mengenai kebudayaan dan sebagainya,” kata Irwandi Azwar, seorang pemandu pelancong dari Indonesia.