fb fb fb fb fb

Johor buat rayuan, semak semula denda pesalah Sungai Kim Kim

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor

JOHOR BAHRU, 3 Disember- Kerajaan Johor akan membuat rayuan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) berhubung hukuman yang dikenakan ke atas pesalah yang menyebabkan pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, empat tahun lalu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata rayuan dibuat bagi melihat semula denda itu memandangkan kejadian itu menjejaskan 2,000 orang awam. 

Lebih serius, 9 daripada 947 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru akibat pencemaran itu.

"Kerajaan akan buat rayuan kepada DPP, untuk melihat semula sama ada denda yang kerajaan berikan dan belanjakan serta kesannya kepada masyarakat sekitar, berbaloi atau tidak berbaloi.

Dalam kita menjaga alam sekitar khususnya sungai untuk generasi akan datang, sepatutnya penguatkuasaan lebih keras," kata Mohd Jafni kepada pemberita di Johor Bahru.

Terdahulu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) menerusi kenyataan berkata pemandu lori, N. Maridass yang didapati bersalah membuang sisa haram ke Sungai Kim Kim hingga tercemar didenda RM100,000.

Syarikat P.Tech Resources Sdn Bhd pula, berdepan lapan pertuduhan didenda RM40,000 bagi setiap pertuduhan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM