JLKN guna Malbatt Village sebagai fasiliti tambahan PLKN 3.0

Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih PLKN 3.0 Siri 1 2026/Foto RTM

PEKAN, 2 Mac – Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan menggunakan Malbatt Village di Port Dickson, Negeri Sembilan sebagai fasiliti latihan tambahan sementara, Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri Dua, yang dijadualkanbermula pada 25 April sehingga 8 Jun depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JLKN gunakan Malbatt Village Port Dickson sebagai fasiliti latihan tambahan bagi PLKN 3.0 Siri Dua bermula April hingga Jun.
  • Langkah mitigasi diambil untuk menampung pertambahan pelatih, khususnya pelatih sukarela, sebelum kem wataniah beroperasi penuh.
  • Malbatt Village mampu menempatkan 800 orang; keseluruhan 1,400 pelatih boleh ditempatkan termasuk kem di Kuala Lumpur dan Pekan.

Langkah mitigasi strategik itu diambil bagi menampung peningkatan keperluan latihan, susulan pertambahan jumlah pelatih, khususnya pelatih sukarela, sebelum 13 kem wataniah yang dirancang bagi pelaksanaan program PLKN beroperasi sepenuhnya.

Menurut Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Malbat Village dipilih selepas melalui proses penilaian strategik melibatkan tahap kesiapsiagaan infrastruktur, kemudahan sokongan serta kesesuaian operasi untuk tujuan latihan.

“Apa yang kita cuba lakukan adalah dapatkan tempat alternatif di Port Dickson, di mana ATM membenarkan kita menggunakan pusat latihan pasukan pengaman dipanggil Malbatt Village.

“Ia boleh menempatkan seramai 800 orang dan boleh menempatkan peserta wanita dan lelaki dalam satu kawasan,” katanya.

Tan Sri Abdul Aziz sebelum itu menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Pelatih PLKN 3.0 Siri 1 2026 di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan.

Beliau optimis, dengan Malbatt Village sebagai fasiliti tambahan, seramai 1400 pelatih PLKN boleh ditempatkan bagi siri kedua tahun ini.

Ia termasuk di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah, Kuala Lumpur dan Kem Rejimen 505 Askar Wataniah, Pekan, Pahang.