fb fb fb fb fb

JKR sedang laksana tiga projek infrastruktur di Pontian

Foto hiasan

PONTIAN, 14 Januari- Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang melaksanakan tiga projek infrastruktur utama bernilai RM178.7 juta di Pontian, Johor.

Projek itu bagi memudahkan perjalanan pengguna jalan raya di daerah itu.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, peruntukan terbesar melibatkan projek laluan Jalan Bukit Nyamuk, Kluang ke Puteri Menangis, Pontian iaitu bernilai RM90 juta.

Projek lain ialah naik taraf Jalan Pekan Nenas–Tanjung Piai, bernilai RM65.6 juta, serta pelebaran jalan dan tambahan dua lorong di Jambatan Sungai Pontian Kechil, bernilai RM23.1 juta dan dijangka siap pada September 2025.

"Itu penting kerana jalan tersebut digunakan oleh ramai pengguna setiap hari dan ketika musim perayaan. Jalan utama yang penting itu jalan persekutuan, dan satu pembesaran jalan kerajaan negeri dari Ayer Baloi ke tol Sedenak," katanya kepada pemberita semasa lawatan kerja rasmi beliau ke JKR Pontian.

Selain itu, pihaknya telah memohon peruntukan bagi projek pelebaran jalan bagi beberapa kawasan antaranya Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Ayer Baloi ke Tampok, dan Benut ke Tol Simpang Renggam.

Beberapa permohonan juga telah dibuat semula, bagi projek pembesaran Jambatan Pontian Besar, dan Jambatan Parit Semarang.

Naik taraf laluan Ayer Baloi ke Tol Sedenak dilihat penting, kerana Kawasan Industri Sedenak, menyediakan ribuan pekerjaan kepada penduduk Pontian, Kluang, Kulai dan Batu Pahat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI