fb fb fb fb fb

JKNJ siasat dakwaan makanan basi di bazar Ramadan

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon

JOHOR BAHRU, 22 Mac- Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tiga kes makanan basi melibatkan peniaga bazar Ramadan di negeri itu sejak beroperasi minggu lalu.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, Ling Tian Soon berkata kejadian itu berlaku melibatkan satu kes di Mersing dan selebihnya di Johor Bahru. 

49 notis kompaun (32B) turut dikeluarkan kepada peniaga bazar Ramadan atas pelbagai kesalahan dipercayai tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009  dengan tawaran kompaun membabitkan RM5,500.

Berdasarkan operasi minggu pertama, sebanyak 1,399 premis makanan di Bazar telah diperiksa dan 1,393 daripadanya mempunyai tahap kebersihan yang baik.

Tiada premis yang diarahkan tutup. 

"Bukan itu sahaja, sebanyak 3,016 pengendali makanan telah diperiksa dan kesemua mereka telah diberi pendidikan kesihatan sebelum dan semasa bulan Ramadan secara berterusan."

"Selain itu, JKNJbukan sahaja hanya lakukan pemeriksaan makanan, malah kita turut mengambil sumber daripada pembekal makanan tersebut untuk tindakan sewajarnya," kata beliau semasa Program Walkabout dan Lawatan ke Premis Di Bazar Ramadan Taman Universiti Skudai, Johor Bahru, pada Khamis.

15 sampel makanan berisiko tinggi di Bazar turut diambil untuk dianalisa di makmal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengetahui tahap pencemaran mikrobiologi.

Sementara itu, 14 notis kompaun 32(B) turut dikeluarkan hasil pemeriksaan ke atas 14 premis pengilang ais atas pelbagai kesalahan, sepanjang minggu pertama Ramadan.

Empat arahan bagi kerja-kerja pembetulan turut dikeluarkan. 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM