fb fb fb fb fb

Jelajah Ramadhan MutiaraFM santuni peserta tadarus al-Quran

KEPALA BATAS, 8 April- 120 peserta tadarus al- Quran dari tiga masjid sekitar Pulau Pinang disantuni menerusi Jelajah Ramadhan MutiaraFM.

Ia melibatkan Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas; Masjid Melayu, Lebuh Acheh dan Masjid Sembilang, Seberang Jaya.

Penerbit program, Asri Ishak berkata memandangkan tarikh program tersebut dilaksanakan serentak dengan Hari Nuzul al-Quran, pihaknya mengambil inisiatif untuk menyantuni golongan itu.

Pihaknya turut menziarahi lima keluarga asnaf sekitar Masjid Abdullah Fahim untuk menyampaikan bantuan.

Berteraskan konsep Malaysia Madani, RTM Pulau Pinang juga menyampaikan 50 pek makanan asas kepada masyarakat bukan Islam.

"Pada tahun ni memandangkan 8 hari bulan jatuh sama dengan Nuzul al-Quran, jadi pendekatan kita untuk mendekatkan MutiaraFM dengan golongan yang terlibat dengan tadarus al-Quran, bertadabur. Itu antara sasaran kita," kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Halo Telco, Mohd Shukrie Rahim berkata pihaknya akan terus menjalankan kerjasama dengan RTM dalam membantu golongan memerlukan.

"Kita ada buat sumbangan untuk warga Cina . Lepas tu rumah asnaf kita bagi kipas, dapur. Lepas ni harap lebih meriah," tambahnya.

Majlis kemuncak ialah Iftar Santai di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas.

Antara rakan strategik yang menjayakan program ini ialah Halo Telco, Masjid Abdullah Fahim, Jambatan Kedua Pulau Pinang ( JKSB) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Pulau Pinang.


(Jelajah Ramadhan MutiaraFM santuni peserta tadarus al-Quran)

Media Baharu