(Peserta turut disajikan dengan program ilmu berbentuk forum dengan tema,
bicara Al-Quran, Pembangunan OKU merentas zaman)
KUALA LUMPUR, 9 April- Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menganjurkan majlis khatam al-Quran braille bersama golongan OKU penglihatan dari Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB).
Menurut Penolong Pengarah Ketua Unit Orang Kurang Upaya Bahagian Pengurusan Dakwah JAWI, Nur Solehah Syafie, program ini adalah kesinambungan kepada program kelas al-Quran Braille yang dianjurkan JAWI dalam usaha membantu OKU penglihatan mendalami islam dan juga al-Quran.
"Program ini juga sebagai memupuk rasa cinta kepada al-Quran dan membuktikan kepada orang awam bahawa kelainan upaya yang ada pada kita bukanlah satu halangan untuk kita mendalami agama, bahkan mereka mempunyai keistimewaan memahami dan mempelajari al-Quran dalam konteks menggunakan tulisan braille adalah suatu yang sangat unik dan saya rasa ia bukan sahaja perlu dipelajari oleh warga OKU penglihatan, tetapi kita juga orang normal mempelajari bagaimana al-Quran braille berfungsi," kata Nur Solehah.
Beliau berkata demikian di majlis khatam al-Quran braille oleh 20 orang peserta dalam kalangan OKU penglihatan di bangunan MAP di Kuala Lumpur.
Menurutnya, kelas bimbingan al-Quran dan fardu ain kepada OKU pendengaran dan penglihatan ini telah bermula 10 tahun yang lalu dan diadakan dua kali sebulan.
Selain itu, JAWI giat melaksanakan program kefahaman Islam dan pengajian asas fardu ain kepada golongan OKU penglihatan dan pendengaran secara berkala bagi memastikan golongan tersebut tidak tercicir daripada mendapat bimbingan untuk mendalami ajaran Islam.
Di majlis tersebut, para peserta turut disajikan dengan program ilmu berbentuk forum dengan tema, bicara Al-Quran, Pembangunan OKU merentas zaman.
JAWI juga menyampaikan sumbangan JAWI Food Bank bagi membantu meringankan kos sara hidup yang ditanggung oleh golongan ini.
Menurutnya, inisiatif berkenaan adalah selaras dengan prinsip ihsan JAWI yang bermatlamat menyantuni semua golongan terutama menunaikan hak golongan minoriti seperti OKU bagi mendalami ilmu agama.
(JAWI anjur majlis khatam al-Quran braille)