Jelajah Ramadan RTM santuni pelajar asnaf di Pulau Pinang

FOTO RTM

BUKIT MERTAJAM, 26 Februari – Program Jelajah Ramadan RTM 2026, tiba di negeri Pulau Pinang dengan memberi tumpuan kepada pelajar asnaf dan barisan hadapan menerusi pengedaran 500 pek makanan dan sumbangan Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program beri duit raya dan pek makanan kepada pelajar asnaf serta barisan hadapan, membantu keperluan Aidilfitri mereka.
  • Pelaksanaan lebih bersasar melalui kerjasama sekolah untuk mengenal pasti penerima yang benar-benar layak.
  • Jelajah Ramadan jadi platform promosi RTM dengan sokongan MAINPP, KWSP dan sektor swasta.

Penerbit Program, Shamimi Shazwani Samsudin berkata pendekatan lebih bersasar dilaksanakan tahun ini menerusi kerjasama dengan pihak sekolah bagi mengenalpasti pelajar yang benar-benar layak menerima bantuan.

“Jadi kita beri duit raya supaya mereka dapat membeli keperluan seperti baju raya.Kali ini, fokus diberikan kepada anak yatim dan pelajar sekolah yang telah dikenal pasti oleh pihak sekolahm termasuk mereka yang kadangkala tercicir daripada bantuan, katanya.

Sementara itu, penerima sumbangan, Nur Husna Alesya Al-Amin, meluahkan rasa gembira apabila berpeluang membeli kelengkapan Aidilfitri.

“Saya rasa seronok dapat beli baju raya. Kalau ada baki, saya akan beri kepada ibu untuk disimpan,” katanya.

Seorang lagi penerima, Nurul Saidatul Nasuha Romel turut berkongsi keterujaannya menerima bantuan tersebut.

“Saya rasa sangat gembira dapat rezeki untuk beli baju raya. Jika ada lebihan, saya akan simpan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pulau Pinang, Ts Nor Hisham Abbas berkata program tersebut turut menjadi platform terbaik untuk mempromosikan jenama RTM kepada orang ramai.

“Jelajah Ramadan edisi ke-14 ini menjadikan Pulau Pinang sebagai lokasi kesembilan dengan pelbagai pengisian bermula dari tengah hari hingga waktu berbuka,” katanya.

Program itu turut mendapat kerjasama strategik daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) serta syarikat swasta.

Selepas Pulau Pinang, jelajah Ramadan RTM akan diteruskan ke negeri Perak.