BUTTERWORTH, 14 Mac – Program Jelajah Ramadan @ MutiaraFM edisi ke-13 terus menekankan aspek keharmonian dan kesepaduan kaum dengan menyantuni golongan asnaf pelbagai bangsa.
Menerusinya, seramai 43 asnaf pelbagai bangsa menerima sumbangan wang tunai dan bantuan makanan.
Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pulau Pinang, Ts. Nor Hisham Abbas berkata pendekatan itu selari dengan dasar Malaysia Madani yang menitikberatkan perpaduan dalam masyarakat majmuk.
“Pendekatan ini bersesuaian dengan dasar Kerajaan Madani yang menekankan perpaduan tanpa mengira kaum bagi memastikan keharmonian dalam masyarakat.
“Malah, program ini juga menjadi platform untuk merapatkan hubungan antara masyarakat serta mempromosikan jenama RTM agar terus kekal di hati rakyat Malaysia,” katanya dalam Program Kongsi Rezeki Jelajah Ramadan @ MutiaraFM yang diadakan di Bazar Ramadan Butterworth, di sini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Negeri Pulau Pinang, Jumaahtun Abdul Ghani dan Pengerusi Penang Port Sdn Bhd, Datuk Seri Syed Mohamad Syed Murtaza selaku rakan penaja negeri.