MIRI, 3 Mac – Program Jelajah Ramadan RTM Ke-13 peringkat Zon Sarawak berlangsung meriah di Kampung Pejuang Kelulit, Bekenu dengan kehadiran masyarakat setempat.
Selain itu, pemimpin tempatan turut hadir meraikan majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan.
Pengarah Penyiaran Sarawak, Wan Azhan Wan Hamat, berkata, program tahunan ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial RTM bersama rakan strategik dalam menyantuni masyarakat serta mendekatkan diri dengan pendengar setia, khususnya di luar bandar.
"RTM yang kini berusia 79 tahun terus komited dalam peranannya sebagai medium penyiaran utama negara.
"Manakala Radio Sarawak telah mencapai usia 71 tahun, membuktikan hubungan erat antara RTM dan masyarakat," katanya berucap di Kampung Pejuang Kelulit, Bekenu di sini hari ini.
Tambahnya, RTM kini mempunyai 34 stesen radio termasuk dua dalam talian, dengan sembilan daripadanya beroperasi di Sarawak, menjadikan negeri ini sebagai lokasi dengan jumlah stesen RTM terbanyak.
Program Jelajah Ramadan Bersepadu RTM Sarawak 2025 ini turut disertai personaliti radio dari pelbagai stesen RTM di Sarawak, termasuk RTM Kuching, RTM Sri Aman, RTM Sibu, RTM Bintulu, RTM Limbang, dan RTM Miri.
Program ini merupakan sebahagian daripada Jelajah Ramadan Bersepadu RTM Sarawak 2025, yang memulakan perjalanan dari RTM Miri ke Kampung Pejuang Kelulit, Bekenu, selepas majlis pelepasan rasmi disempurnakan oleh Wan Azhan Wan Hamat pagi tadi.
Sebelum tiba ke destinasi utama, rombongan bersama rakan strategik turut menyantuni masyarakat setempat dengan menyampaikan Sumbangan Bantuan Banjir Petron Malaysia di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah Miri.
Sebanyak 106 pakej bantuan diagihkan, melibatkan 61 pakej untuk nelayan dan 45 pakej kepada komuniti setempat.
Secara keseluruhan, 350 pakej bantuan telah disalurkan di Sarawak, merangkumi tiga lokasi utama iaitu Bintulu, Sibu, dan Miri.
Konvoi Jelajah Ramadan 2025, yang dilancarkan di Petron Ulam North, Sabah pada 28 Februari lalu, akan singgah di 14 lokasi di seluruh negara sebelum dijadual berakhir di Melaka pada 20 Mac depan.
Majlis Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadan dan Berbuka Puasa di Kampung Pejuang Kelulit turut dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Rosey Yunus, Penolong Pengarah Seksyen Penyelarasan dan Penjadualan Radio RTM, Abdul Razak Ahmad, pegawai kanan RTM serta rakan strategik RTM.
Program ini terus menjadi platform bagi RTM dalam menyampaikan maklumat secara langsung kepada masyarakat luar bandar serta memastikan mereka mendapat akses kepada perkembangan terkini negara.