KUALA LUMPUR, 21 Oktober – Jelajah Karnival Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) 2025 dan Kempen Beli Barangan Malaysia Zon Timur diteruskan di Pahang.
Karnival akan berlangsung di Dataran Sayangi Kuantan pada 24 Oktober (Jumaat) hingga 26 Oktober (Ahad) ini.
Menurut Pengarah Bahagian Penyelidikan dan Dasar Kepenggunaan KPDN, Siti Juriani Jalaluddin berkata, karnival itu menjadi platform utama memperkukuh ekonomi domestik melalui penglibatan aktif usahawan tempatan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).
“Dalam karnival ini, kita ada juga Kempen Beli Barangan Malaysia yang mana KPDN cuba untuk menonjolkan usahawan-usahawan tempatan, PMKS untuk kita melonjakkan ekonomi domestik,” katanya dalam program Selamat Pagi Malaysia, hari ini.
Tambah beliau, pelbagai pengisian turut disediakan termasuk karnival MyFutureJobs, program eksplorasi kanak-kanak, serta segmen kos sara hidup yang memberi panduan penjanaan pendapatan dan maklumat mengenai inisiatif Budi MADANI.
“Kita cuba tampilkan perkhidmatan yang disediakan oleh KPDN dan kementerian lain secara lebih dekat kepada pengguna, contohnya aplikasi 'Price Catcher' yang membantu pengguna mengenal pasti premis menawarkan harga 'value for money' (nilai untuk wang),” ujarnya.