fb fb fb fb fb

Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ke Sarawak

(Fadillah Yusof)

KUALA LUMPUR, 1 Ogos- Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM), wadah penyatuan rakyat pelbagai lapisan dalam konteks yang lebih kukuh, kompleks dan menyeluruh.

Aspirasi lebih penting, dapat merapatkan jurang di antara rakyat dengan kerajaan sebagai satu entiti yang saling mendokong dan bersama membangunkan negara sebagai satu keluarga besar dan harmoni.

Selepas Kelantan, JAKM bakal diadakan di negeri Sarawak selama 3 hari bermula 5 hingga 7 Ogos ini.

Lokasinya di Dataran Perayaan, Petrajaya, Kuching bermula 9.00 pagi hingga 9.00 malam.

(JAKM wadah penyatuan rakyat pelbagai lapisan dalam konteks yang lebih kukuh, kompleks dan menyeluruh)

Buat julung kalinya, Planetarium Bergerak dibawakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI); selain gerai pameran, IKS, program padanan perniagaan, bual bicara, konsert, Kenduri Rakyat serta program berbentuk kerohanian.

Menurut Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof pengisian program tidak ketinggalan menggabungkan citra budaya masyarakat Sarawak, khususnya persembahan masakan dan seni tradisi rakyat tempatan.

"Tetapi yang lebih utama nak membawa semua Keluarga Malaysia khususnya rakyat Sarawak untuk merasai apa yang sebenarnya dimaksudkan dengan Keluarga Malaysia ini.

"Bukan sahaja nak pertontonkan kejayaan kementerian dan agensi tetapi lebih untuk membawa kita supaya menjadi satu keluarga yang bersatu hati dapat hidup dalam keadaan aman dan harmoni apatah lagi Sarawak dikenali sebagai sebuah negeri yang begitu harmoni sekali, pelbagai bangsa, budaya boleh duduk bersama. Jadi, inilah yang patut kita ketengahkan.

"Dengan penglibatan semua lapisan masyarakat tidak kira apa latar belakang, inilah sebenarnya nak membawa kita bersama dalam apa sahaja yang kita laksanakan. Kalau ini dapat kita laksanakan secara bersama, barulah agenda pembangunan itu akan dapat kita bangunkan dengan sebaik mungkin," katanya.

Beliau ditemui selepas menjadi tetamu program terbitan RTM di Angkasapuri.

JAKM Sarawak dijadual dirasmikan 7 Ogos ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Media Baharu