fb fb fb fb fb

JDT ke Final Piala Malaysia, Johor isytihar cuti peristiwa 28 April

Foto Facebok JOHOR Southern Tigers

JOHOR BAHRU, 24 April - Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan cuti peristiwa pada 28 April ini sempena kejayaan Johor Darul Ta'zim (JDT) mara ke saingan akhir Piala Malaysia 2024/2025 menentang Sri Pahang FC.

Onn Hafiz melalui hantaran Facebook miliknya berkata, pengisytiharan oleh Kerajaan  Negeri Johor itu sebagai penghargaan pencapaian luar biasa kelab JDT dalam saingan bola sepak negara.

"Menjunjung setinggi-tinggi kasih kepada Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail atas visi, perancangan dan usaha luar biasa dalam menjadikan JDT sebagai sebuah kelab bola sepak berprestij bukan sahaja di Malaysia, bahkan turut disegani di rantau Asia," katanya.

Pengumuman cuti itu juga merupakan simbol sokongan padu rakyat negeri itu, terhadap pencapaian membanggakan pasukan. Kelab Harimau Selatan kini memburu kejuaraan kali kelima dalam kejohanan berkenaan. 

Beliau turut mengajak para penyokong beramai-ramai membanjiri Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Sabtu ini untuk menyaksikan perlawanan itu.

“Ayuh, kita terus gegarkan Stadium Sultan Ibrahim dalam satu sambutan penuh gilang-gemilang untuk Chapter 2: The 11. Mari kita hadir beramai-ramai, kibarkan bendera biru merah, dan raikan pasukan kebanggaan kita, Johor Darul Ta’zim,” katanya lagi.

Manakala majlis sambutan meraikan kejayaan kelab tersebut dijadualkan berlangsung pada 27 April bertempat di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor. 

TETITIA YUSOFF