fb fb fb fb fb

JBPM Sarawak berjaya selamat lebih RM21.229 billion nilai harta benda sepanjang 2023

Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman

KUCHING, 25 Januari- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia JBPM Sarawak berjaya menyelamatkan lebih RM21.229 billion nilai harta benda daripada musnah dalam kejadian kebakaran sepanjang tahun lepas.

Pengarah JBPM Sarawak, Datuk Khirudin Drahman menerusi perkongsian statistik kes kebakaran di Sarawak turut mendedahkan, dalam tempoh 12 bulan itu juga sebanyak lebih RM1.465 juta nilai kerugian direkodkan.

Sepanjang 2023, sebanyak 2,090 panggilan kes kebakaran direkodkan oleh 38 Balai Bomba dan Penyelamat BBP seluruh negeri, selain 8,162 panggilan penyelamatan, 234 panggilan untuk tugas-tugas khas serta lima panggilan palsu.

Daripada 2,090 panggilan kebakaran tersebut, 705 melibatkan kes kebakaran belukar/lalang, 371 bangunan, 183 kenderaan, 70 alat perkakas, 252 sampah dan 509 lain-lain kebakaran.

Bagi kes kebakaran struktur, sebanyak 371 panggilan diterima jabatan tersebut melibatkan 156 kediaman, 88 struktur khas, 50 storan am, 29 kedai, 16 rumah panjang, sembilan kilang, tujuh pejabat, empat institusi, tiga hotel dan lapan lain-lain struktur.

Datuk Khirudin turut mendedahkan, sembilan kematian dan 33 kecederaan akibat insiden kebakaran direkodkan, selain menyelamatkan 295 mangsa.

BBP Batu Lintang mencatat jumlah panggilan kecemasan tertinggi dengan 687 kes manakala BBP Miri Sentral mencatat panggilan kebakaran tertinggi dengan 220 kes.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE