fb fb fb fb fb

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah diaktifkan, hadapi Monsun Timur Laut

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa
Pengurusan Bencana Pusat Bil 2/2022 hari ini/ Foto BERNAMA)

PUTRAJAYA, 12 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) diaktifkan segera dan peranannya diperkasakan di semua lokasi bencana.

Perkara itu diputuskan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November ini hingga Mac.

Perdana Menteri berkata secara keseluruhan, 79,549 pegawai dan anggota agensi keselamatan serta penyelamat di semua peringkat bersedia sepenuhnya dengan sokongan pelbagai aset.

Bagi aspek pengurusan penduduk terjejas, Jabatan Kebajikan Masyarakat sudah bersiap sedia untuk mengaktifkan 6,010 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negara.

RM2.59 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan asas dan fasiliti di semua PPS.

Kementerian Pendidikan turut diarah supaya asrama sekolah yang tidak dihuni digunakan ketika bencana berlaku.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa
Pengurusan Bencana Pusat Bil 2/2022 hari ini/ Foto BERNAMA)

Mesyuarat juga bersetuju supaya bunyi amaran awal berbeza dengan bunyi siren yang lain seperti ambulans dan kereta peronda polis bagi mengelakkan kekeliruan.

Pengumuman berpindah akan dibuat pihak berkuasa melalui sistem pembesar suara.

Perdana Menteri turut memaklumkan, RM8 juta diperuntuk bagi Pengurusan Pengoperasian Bencana Monsun Timur Laut 2022/2023 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

RM4.8 juta diperuntuk bagi menyediakan 320 bot fiber bersama enjin untuk daerah terlibat sebagai usaha memperkasa peranan komuniti sebagai responder awal.

Kerajaan juga menggerakkan 22,622 aset air milik semua agensi dari seluruh negara.

Semua aset perlu dikoordinasi sebaik mungkin supaya kerja menyelamat dilaksana dengan berkesan.

Media Baharu