fb fb fb fb fb

Sultan Selangor tarik Darjah Kebesaran Najib, Rosmah

(Najib Razak dan Rosmah Mansor ketika hadir ke majlis sambutan
Hari Kemerdekaan ke-61 di Taman Botani pada 2018/FOTO Grace Aisyah)

SHAH ALAM, 12 September - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Seri' dan ‘Datuk’ yang dikurniakan kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa hari ini.

Selain itu, gelaran Datin Paduka Seri yang dikurniakan kepada isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, pada 2005 turut ditarik balik.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim, dalam kenyataan berkata penarikan darjah kebesaran itu dibuat selepas baginda berunding dengan Dewan di-Raja Selangor.

Katanya, Najib dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (SPMS) Kelas Pertama yang membawa gelaran Datuk Seri pada tahun 2004 dan Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor (DPMS) Kelas Kedua yang membawa gelaran Datuk pada tahun 1992.

Beliau berkata penarikan darjah kebesaran itu adalah berasaskan kepada sabitan dan hukuman yang dijatuhkan kepada Najib dalam kes salah guna kuasa, pecah amanah dan penggubahan wang haram ke atas dana SRC International Sdn Bhd.

"Pada 23 Ogos lepas, Mahkamah Persekutuan telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap Najib yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang sudah dijatuhkan terhadapnya, keahliannya ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September," menurut kenyataan itu pada Isnin.

Dalam pada itu, Haris memaklumkan, Darjah Seri Paduka Mahkota Selangor SPMS Kelas Pertama yang membawa gelaran Datin Paduka Seri yang dikurniakan pada Datin Seri Rosmah Mansor pada 2005 turut ditarik balik.

Katanya, Rosmah didakwa di Mahkamah atas tiga pertuduhan yang melibatkan kesalahan meminta dan menerima rasuah.

"Pada 1 September lalu, Mahkamah Tinggi telah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap beliau atas semua pertuduhan yang dihadapkan kepadanya.

"Maka dengan ini, atas sabitan dan hukuman yang sudah dijatuhkan terhadapnya, keahliannya ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa pada 12 September," katanya lagi.

Pada 26 Oktober 2018, Istana Besar Seri Menanti menarik semula pengurniaan darjah kebesaran kepada pasangan itu.

(Najib Razak dan Rosmah Mansor ketika hadir ke majlis sambutan
Hari Kemerdekaan ke-61 di Taman Botani pada 2018/FOTO Grace Aisyah)

Dalam kenyataan yang sama, Haris berkata darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk kepada seorang lagi individu, Mohd Arif Ab Rahman juga ditarik balik dan dibatalkan berkuat kuasa hari ini.

Mohd Arif dikurniakan Keahlian Darjah Kebesaran Dato'- Sultan Sharafuddin Idris Shah (DSIS) yang membawa gelaran Datuk pada 2005, Darjah Kebesaran Setia- Sultan Sharafuddin Idris Shah (SIS) Kelas Ketiga pada 2003 serta Darjah Kebesaran Ahli Mahkota Selangor (AMS) Kelas Keempat pada 2001.

Katanya kesemua darjah kebesaran itu diperintahkan Sultan Selangor untuk ditarik balik dan dibatalkan atas sabitan dan hukuman yang dijatuhkan kepada beliau atas tuduhan rasuah.

"Pada 23 Januari 2021, Mahkamah Tinggi telah mengekalkan sabitan dan hukuman terhadap beliau yang telah diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum ini," katanya.

Haris yang juga Pendaftar Darjah Kebesaran Selangor berkata penarikan balik dan pembatalan keahlian ketiga-tiga individu berkenaan selaras dengan kuasa prerogatif baginda di bawah Perkara XXXVIII dan Perkara XXXIX Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959 serta Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di Selangor.

Media Baharu