KUALA LUMPUR, 8 Disember - Hospital swasta kini akan dipantau dan diaudit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), agar sentiasa mematuhi undang-undang di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Pemantauan tersebut akan dilaksana Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Bahagian Amalan Perubatan, KKM.Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, platform pemantauan melibatkan mekanisme pengendalian aduan oleh pesakit, termasuk isu caj rawatan, bagi memastikan fasiliti kesihatan swasta patuh terhadap peraturan sedia ada.
"Aduan boleh disalurkan melalui laman web CKAPS (myckaps.spab.gov.my), panggilan telefon di 03-888 31362, surat rasmi, atau hadir sendiri ke pejabat CKAPS di Putrajaya atau di Jabatan Kesihatan Negeri/Wilayah Persekutuan," katanya.
Beliau menjelaskan, jadual fi bawah Akta 586 hanya merangkumi caj konsultasi dan tatacara prosedur perubatan, manakala caj lain seperti harga ubat, peralatan perubatan dan kemasukan ke wad tidak dikawal selia di bawah akta ini.
Walau bagaimanapun, tindakan boleh diambil sekiranya terbukti terdapat pelanggaran peruntukan Akta 586, termasuk penggantungan atau pembatalan lesen hospital.
"Semua hospital swasta tertakluk kepada Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998. KKM menjalankan audit berkala dan pemeriksaan penguatkuasaan untuk memastikan pematuhan.
Pelanggaran terhadap peruntukan Akta 586 boleh mengakibatkan tindakan penggantungan atau pembatalan lesen," jelasnya.
Kementerian juga telah mengaktifkan semula Jawatankuasa Mekanisme Aduan (Grievance Mechanism Committee, GMC) yang melibatkan KKM, Bank Negara Malaysia dan pihak berkepentingan daripada sektor perubatan, hospital, dan insurans.
Jawatankuasa tersebut berfungsi sebagai platform kerajaan untuk menyelaras pemantauan kadar bayaran, amalan intervensi dasar, serta tindakan rentas kementerian, bagi meningkatkan ketelusan, penyeragaman manfaat minimum, dan menstabilkan kos penjagaan kesihatan di sektor swasta.
"Jawatankuasa Pemandu Mekanisme Perlindungan Kesihatan Sektor Swasta (JPMKKS), memacu pelaksanaan kerangka 'reset' termasuk pembangunan produk asas insurans atau takaful perubatan dan kesihatan.
"Usaha tersebut bagi tujuan meningkatkan ketelusan penyeragaman manfaat minimum dan menstabilkan inflasi kos sektor swasta," tambahnya.