
KUCHING, 9 April – Satu jawatankuasa khas berkaitan pelaksanaan dasar karbon akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi menyelaras peranan Kerajaan Persekutuan dan Sarawak.
- Perancangan dan pelaksanaan dasar mesti dilaksanakan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.
- Dasar carbon registry baharu mesti melalui konsultasi dengan Kerajaan Sarawak untuk menyelaraskan setiap penilaian.
- RUU Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan pada pertengahan tahun ini.
- Sarawak antara penyumbang utama kredit karbon negara dan memainkan peranan penting dalam agenda kelestarian.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Arthur Joseph Kurup berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap perancangan dan pelaksanaan dasar dapat dilaksanakan secara bersama oleh kedua-dua pihak.
“Segala perancangan dan pelaksanaan dasar, khususnya berkaitan carbon registry yang baharu, mesti melalui konsultasi dengan Kerajaan Sarawak supaya setiap penilaian dapat diselaraskan antara Kerajaan Sarawak dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Abang Johari Tun Openg di sini.
Penubuhan jawatankuasa itu juga susulan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara yang dijangka dibentangkan pada pertengahan tahun ini.
Beliau turut berharap RUU berkenaan mendapat sokongan Ahli Parlimen dari Sarawak bagi memastikan ia dapat diluluskan.
Menurut beliau, Sarawak merupakan antara penyumbang utama kredit karbon negara, sekali gus memainkan peranan penting dalam agenda kelestarian alam sekitar negara.