fb fb fb fb fb

Jangan jadikan isu agama sebagai polemik, perbalahan politik

(Titah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena
sambutan 
Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda)

KUALA LUMPUR, 4 Jun- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan seluruh rakyat Malaysia supaya tidak menjadikan isu agama sebagai polemik dan perbalahan politik.

Titah baginda, semua pihak perlu menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, selain perlu juga menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.

Namun demikian, agama-agama lain masih boleh diamalkan dengan aman dan damai.

Tegas Seri Pasuka, semangat penuh toleransi rakyat Malaysia dalam kemajmukan yang ada sebenarnya adalah asas kekuatan utama negara.

"Bagi membina sebuah negara yang gagah perkasa, maju jaya, berwibawa, dan bermaruah, kita semua hendaklah membuang agenda retorik perpecahan dan sebaliknya bersatu hati untuk mengemudi negara ke arah pembentukan masa hadapan yang lebih baik.

"Rakyat Malaysia yang beta hormati sekalian, bersempena sambutan ulang tahun hari keputeraan rasmi beta, izinkan beta menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang beta sanjung sekalian atas ucapan tahniah dan doa yang telah dipersembahkan bersempena hari keputeraan rasmi beta," titah Al-Sultan Abdullah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Baginda.

Seri Paduka turut menzahirkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana ini adalah tahun kelima baginda dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyambut hari yang penuh bermakna itu bersama rakyat Malaysia.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa bersyukur kerana Hari Keputeraan Rasmi Baginda disambut dalam suasana landskap negara yang stabil dan sentosa.

Pada tahun lalu, Pilihan Raya Umum yang ke-15 dan proses pembentukan kerajaan Persekutuan telah berlangsung dengan penuh lancar serta dalam suasana yang aman dan damai.

Ini adalah bukti jelas bahawa amalan demokrasi yang diamalkan semenjak tujuh dekad lalu masih kekal subur di negara ini.

Baginda bertitah agar amalan demokrasi ini terus menjadi asas kepada kestabilan dan keharmonian negara.

(Jangan jadikan isu agama sebagai polemik, perbalahan politik)

Media Baharu