KANGAR, 8 Jun- Semua premis kedai, gerai dan penjaja makanan dan minuman dalam kawasan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dilarang menggunakan bekas makanan stirofoam dan polistirena, berkuat kuasa bermula 15 Julai depan.
Menurut Yang Dipertua MPK, Affendi Rajini Kanth, larangan itu antara langkah jangka masa panjang memulihara alam sekitar serta memastikan tahap kesihatan penduduk di Perlis sentiasa terjamin.
Tegasnya, peniaga yang ingkar akan berdepan tindakan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan dikenakan kompaun maksimum RM500 atau denda tidak melebihi RM2,000.
Penguatkuasaan larangan itu susulan pelaksanaan Program Hari Tanpa Beg Plastik Peringkat Negeri Perlis pada 29 Februari 2020 secara berfasa sehingga 2026.
Menerusi pelaksanaan itu, setiap permintaan beg plastik dikenakan caj antara 20 sen sehingga RM2.
Langkah itu bagi memupuk kesedaran masyarakat supaya mengurangkan penggunaan beg plastik sekali guna.