TUNJONG, 8 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan pengusaha makanan, pemilik restoran serta kedai makan di seluruh negara dapat menawarkan sekurang-kurangnya satu Menu Rahmah.
Langkah itu membolehkan mereka dapat menikmati diskaun khas setelah mendaftar Kad Diskaun Khas Menu Rahmah yang boleh di dapati di tujuh pasar raya rakan strategik KPDN seluruh negara.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, pemegang kad khas terbabit berpeluang untuk mendapatkan penjimatan kos belian barangan keperluan perniagaan antaranya gula pasir, sardin tin, tepung, sos cili, bawang merah dan pelbagai barangan lain.
Melalui kos penjimatan berkenaan, ia dapat membantu peniaga untuk melestarikan penawaran Menu Rahmah kepada rakyat.
"Kalau mereka tawarkan satu sahaja Menu Rahmah daripada banyak menu yang mereka sediakan itu pun sudah melayakkan untuk dapat kad diskaun. Bukannya semua mesti Menu Rahmah, banyak keuntunganlah daripada kad diskaun ini."
"Bagaimanapun, yang belum berniaga, belum menawarkan Menu Rahmah kena daftar la tetapi insya-Allah kita kecualikan yang dulu punya syarat-syarat yang lama. Dia terus automatik, sambil turun sambil nazir," kata Fuziah kepada pemberita dalam sidang media, hari ini.
Ketika ini, lebih 100 peniaga di seluruh negara sudah mendaftar untuk mendapatkan kad tersebut dengan paling ramai adalah dari Kelantan.
Terdahulu, Fuziah menyempurnakan Majlis Penyerahan Kad Diskaun Khas Menu RAHMAH dan Kad Meriah Borong MYDIN kepada peniaga makanan yang menawarkan Menu Rahmah di Tunjong, Kota Bharu.
Hadir sama, Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Ameer Ali Mydin.
Mengulas lanjut, Fuziah berkata usaha mempromosi dan merancakkan lagi pendaftaran kad diskaun khas terbabit sedang di perhebat.
KPDN juga telah mempeluaskan penawaran kad diskaun khas itu bukan sahaja kepada pengusaha restoran malah kepada penjaja dan peniaga kenderaan makanan (food truck).