fb fb fb fb fb

"Jangan aniaya sesama Islam” – Sultan Selangor tegas isu pakej haji palsu

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kanan) berkenan menyampaikan cenderahati kepada jemaah haji ketika berangkat ke Majlis Perasmian Penutupan Kursus Perdana Haji (KPH) Peringkat Negeri Selangor Musim Haji 1446H di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini / BERNAMA

SHAH ALAM, 20 April- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, mengingatkan umat Islam agar tidak menganiaya sesama sendiri dengan menganjurkan pakej haji palsu demi mengaut keuntungan secara menipu dan memperdaya orang lain.

Baginda menzahirkan harapan agar pihak kerajaan mengambil serius perkara itu dan memastikan tiada lagi kes jemaah haji menjadi mangsa penipuan oleh ejen-ejen tidak bertauliah.

“Beta ingin mengingatkan supaya umat Islam tidak menganiaya sesama Islam dengan mengambil kesempatan mengadakan pakej-pakej haji palsu untuk mengaut keuntungan secara menipu dan memperdaya umat Islam.

"Ingatlah, agama Islam melarang umatnya menipu dan Allah Subhanahu Wata’ala akan membalas segala dosa mereka yang memperdaya orang lain. Beta berharap tiada lagi kes jemaah haji ditipu dan pihak kerajaan memandang serius perkara ini,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan mencemar duli menghadiri Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Dalam titah yang sama, Sultan Sharafuddin turut mengingatkan jemaah haji agar sentiasa mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Arab Saudi, bagi memastikan perjalanan ibadah berlangsung dalam keadaan aman, sejahtera dan bebas daripada sebarang masalah.

Terdahulu, keberangkatan baginda disambut oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Kursus anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) itu dihadiri seramai 8,338 bakal jemaah haji dari Selangor, sebagai persiapan akhir sebelum berangkat ke tanah suci bulan depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE