fb fb fb fb fb

Jabatan Penjara sasar kadar jenayah berulang turun 10 peratus

KAJANG, 25 Julai - Jabatan Penjara Malaysia mensasarkan kadar jenayah berulang oleh bekas banduan seluruh negara akan turun kepada 10 peratus berbanding 15 peratus pada masa ini.

Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad berkata perkara itu akan dapat dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun lagi iaitu selari dengan pelbagai program pemulihan termasuk pelancaran Pusat Pembangunan Peradaban Budaya Kemanusiaan di 42 penjara seluruh negara.

Katanya, kewujudan pusat tersebut dapat membawa budaya baharu dalam kalangan warga kerja Jabatan Penjara selaras dengan matlamat ketiga sistem kepenjaraan yang ditetapkan dalam Mandela Rules iaitu memastikan keselamatan masyarakat terlindung daripada menjadi 'musuh mass depan'.

(Ketua Pengarah Penjara, Datuk Nordin Muhamad)

"Penjara pada hari ini bukan lagi semata-mata sebagai tempat menjatuhkan hukuman dan bukan kita melihat pemulihan begitu sahaja tapi apa yang kita nak lihat adalah impak sebagai keluarga malaysia kita mempunyai tanggungjawab untuk melindungi keluarga kita.

"Kita mahu jadikan penjara ini sebagai persekitaran yang sihat, banduan yang berkomunikasi dan mewujudkan budaya manusia beradab kita tidak mahu elemen penjara itu dibawa keluar iaitu jika kita melayan mereka seperti penjenayah, mereka juga akan keluar seperti penjenayah," katanya.

Datuk Nordin berkata demikian selepas melancarkan Pusat Pembangunan Peradaban Budaya di Ibu Pejabat Jabatan Penjara, di sini.

Seramai 76 pegawai dan 1,050 anggota berjaya melengkapkan sesi latihan yang dikendalikan oleh tiga wakil daripada Her Majesty Prison and Probation Services United Kingdom bagi memastikan matlamat mewujudkan Pusat Pembangunan Peradaban Budaya dapat dilaksanakan dengan baik kepada warga kerja jabatan dan banduan.

Media Baharu