fb fb fb fb fb

Jabatan Imigresen teliti dakwaan pengarah syarikat dipukul ketika operasi

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh

KUALA LUMPUR, 29 Jun- Jabatan Imigresen Malaysia akan memberi kerjasama sepenuhnya dengan telus dan adil kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), berhubung insiden seorang pengarah syarikat pekerja asing yang mendakwa dipukul pegawai Imigresen, semasa ditahan dalam operasi penguatkuasaan jabatan itu baru-baru ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh menerusi satu kenyataan memaklumkan, dalam masa sama jabatan itu sedang menunggu laporan lengkap daripada Imigresen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan seterusnya akan meneliti dakwaan tersebut.

Jelas beliau, sekiranya didapati berlakunya tindakan pelanggaran SOP atau penyalahgunaan kuasa oleh pegawai terlibat, tindakan dan hukuman tegas akan diambil.

Beliau menegaskan jabatan itu memandang serius kes penyalahgunaan kuasa melibatkan pegawai dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melakukan pelanggaran SOP, sehingga mencemarkan nama baik dan imej jabatan.

Kenyataan itu dikeluarkan jabatan tersebut susulan sebuah portal berita yang melaporkan seorang pengarah syarikat pekerja asing yang dipercayai terlibat sebagai dalang sindiket pengemis, mendakwa dipukul oleh pegawai Imigresen semasa ditahan dalam operasi penguatkuasaan pada 25 Jun lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE