Isu pemilikan saham Azam Baki, tindakan lanjut diumum KSN

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil /Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Mac– Siasatan berkaitan isu pemilikan saham melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dakwaan manipulasi korporat akan diteruskan secara menyeluruh oleh agensi penguat kuasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jemaah Menteri menerima dan membincangkan laporan siasatan oleh Peguam Negara.
  • Tindakan lanjut akan ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara; kenyataan lanjut dijangka dikeluarkan KSN.
  • Agensi penguat kuasa diarahkan meneruskan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan perundangan termasuk menyita hasil.
  • Kerajaan akan meneliti sebarang kelompongan undang-undang yang membolehkan manipulasi korporat.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan, Jemaah Menteri telah menerima dan membincangkan hasil laporan siasatan oleh Peguam Negara dalam isu pegangan saham berkenaan.

Bagaimanapun, keputusan mengenai tindakan lanjut akan ditentukan oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa tindakan selanjutnya akan diambil oleh Ketua Setiausaha Negara. Justeru, hasil penuh laporan tersebut tidak dapat dinyatakan buat masa ini kerana terdapat langkah seterusnya yang perlu dilaksanakan,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

Datuk Fahmi berkata, kenyataan lanjut berhubung perkara itu dijangka dikeluarkan oleh KSN dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Jemaah Menteri turut membincangkan dakwaan manipulasi korporat yang dilaporkan oleh beberapa media.

Menurutnya, siasatan terhadap beberapa individu telah dimulakan sejak beberapa tahun lalu.

Sehubungan itu, kerajaan mengarahkan beberapa agensi penguat kuasa untuk meneruskan siasatan secara menyeluruh tanpa terhad kepada individu yang sedang menjadi fokus awal siasatan.

Antara agensi terlibat ialah Polis Diraja Malaysia, Securities Commission Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Lembaga Hasil Dalam Negeri.

“Agensi penguat kuasa diminta meneruskan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan perundangan yang bersesuaian termasuk menyita hasil yang dipercayai mempunyai elemen jenayah,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan juga akan meneliti sekiranya wujud sebarang kelompongan dalam undang-undang sedia ada yang memungkinkan berlakunya manipulasi korporat.