KUCHING, 11 Februari- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membawa isu kekurangan pusat penjagaan sosial dalam Kepengerusian ASEAN, tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri memaklumkan, antara perkara yang akan dibincangkan bersama negara serantau adalah menggalakkan sektor awam dan swasta dalam memperluas industri pusat penjagaan.
"Industri penjagaan merupakan fokus utama kami terutamanya dalam mesyuarat ASEAN nanti. Kami akan bekerjasama dengan negara lain, khususnya Laos untuk menggalakkan inisiatif ini," kata Nancy kepada pemberita, hari ini.
Beliau ditemui selepas merasmikan Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Zon Borneo 2025, di sini.
Langkah itu selari dengan usaha kerajaan menggalakkan wanita kembali bekerja dalam semua sektor dan bersama menyumbang kepada kemakmuran ekonomi negara.
Tambahnya, kerajaan turut memberi subsidi untuk pekerja sektor awam membiayai pusat penjagaan anak-anak namun bagi sektor swasta, syarikat-syarikat juga diminta tampil berbuat sedemikian.
Pusat penjagaan bukan hanya untuk anak-anak malah turut meliputi pusat penjagaan orang tua.
Ia berikutan kekurangan atau kos pusat penjagaan yang tinggi antara kekangan wanita untuk bekerja semula.