fb fb fb fb fb

Isu gaji: MTUC, pekerja MYAirline lapor polis

Kamarul Baharin (dua kiri)

SEPANG, 31 Oktober- Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) membuat laporan polis terhadap MYAirline susulan status lebih 900 kakitangan syarikat penerbangan itu masih menjadi tanda tanya, ibarat 'digantung tidak bertali'.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin bersama sekumpulan pekerja MYAirline membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang hari ini.

"Kalau mereka (MYAirline) kata pekerja ini masih bekerja, (jadi) gaji tu perlu dibayar, tetapi masalah sekarang ini gaji tidak dibayar (dan) jika mereka bukan lagi pekerja, keluarkan surat pemberhentian dan bayar gaji.

"Gaji bulan September dan Oktober masih mereka tidak dapat lagi," katanya kepada pemberita di sini.

Pada 12 Oktober lepas, kakitangan MYAirline menerima e-mel mengenai pengumuman memberhentikan operasi sementara yang dikirim pada pukul 5.18 pagi.

Kamarul Baharin berkata, berdasarkan laporan polis dibuat, pihak syarikat juga didakwa gagal membuat caruman kepada pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sejak beberapa bulan.

Potongan gaji pekerja telah dibuat oleh pihak syarikat bagi tujuan caruman di dua agensi terlibat, namun ia dipercayai gagal dilaksanakan sebaiknya.

"Tindakan tersebut merupakan satu kezaliman kepada pekerja dan kerajaan perlu menyiasat secara teliti perkara tersebut kerana ia merupakan hak pekerja," katanya.

Pihaknya turut akan membawa isu tersebut kepada Jabatan Tenaga Kerja dan berharap tindakan segera dapat diambil untuk membela nasib lebih 900 pekerja MYAirline

SITI AISHAH BINTI MD ISA