Tuisyen siang malam, kenapa masih tidak faham?

Gambar janaan AI/RTM

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Belajar bukan sekadar menghafal lama; kefahaman datang bila anak boleh kaitkan dan terangkan semula ilmu.
  • Latih anak berfikir melalui perbincangan dan aktiviti, bukan pengajaran pasif; itu bina pemikiran kritikal.
  • Tanya soalan bermakna seperti "apa yang menarik hari ini?" untuk galakkan mereka jelaskan dan fahami sendiri.

Pernahkah kita terfikir kenapa anak-anak sekarang nampak begitu sibuk tetapi hasilnya tetap tidak seberapa? Dari pagi ke petang mereka di sekolah, bersambung pula dengan kelas tuisyen hingga ke malam. Namun, walaupun sudah “berkampung” dengan buku berjam-jam lamanya, kefahaman mereka tetap tidak berubah.

Anak-anak yang asalnya rajin ini mula nampak letih dan hilang semangat. Persoalannya, adakah masalah ini berpunca daripada sikap anak, atau sebenarnya cara kita memahami maksud “belajar” itu yang perlu dinilai semula?

Biasanya, kita anggap anak itu sedang belajar jika kita nampak mereka duduk diam di meja, menyiapkan bertimbun latihan, dan menghafal satu buku teks. Tetapi sebenarnya, belajar bukan sekadar menyumbat maklumat masuk ke dalam kepala seperti kita mengisi barang ke dalam kotak.

Belajar yang sebenar adalah apabila anak mula faham apa yang dibaca dan boleh mengaitkan ilmu itu dengan apa yang mereka nampak di depan mata. Kunci utama untuk faham bukan terletak pada berapa lama mereka membaca, tetapi pada kekerapan mereka cuba menerangkan semula maklumat tersebut.

Ramai yang percaya lebih lama anak duduk menghadap buku, lebih pandailah mereka. Hakikatnya, memaksa anak belajar berjam-jam tanpa henti hanya akan membuatkan otak mereka menjadi tepu dan gagal memproses maklumat dengan baik.

Kita juga selalu tersilap apabila menganggap anak yang kuat menghafal itu bermaksud dia sudah faham. Memang betul, anak mungkin boleh menjawab soalan latihan yang sama berkali-kali, tetapi mereka akan mula buntu apabila soalan itu diubah sedikit atau memerlukan mereka berfikir di luar kotak.

Contoh paling jelas boleh kita lihat dalam kalangan pelajar perubatan. Mereka ini selalunya pelajar paling cemerlang atau kelompok “cream of the cream” semasa di sekolah dahulu. Namun, ramai yang tiba-tiba berasa hilang punca dan ragu dengan kemampuan diri sebaik sahaja memasuki fakulti atau kulliyyah perubatan.

Walaupun mereka mampu menghafal ratusan muka surat nota, mereka tetap terkira-kira apabila perlu berhadapan dengan perbincangan kes pesakit yang sebenar. Ini berlaku kerana cara lama iaitu menghafal dan membuat latihan berulang-ulang tidak lagi mencukupi untuk bidang yang memerlukan pemikiran kritikal serta pemahaman yang mendalam.

Dalam bilik darjah pun sama, ada masanya ibu bapa mula risau apabila melihat guru kurang “berceramah” di depan dan lebihkan aktiviti berkumpulan atau perbincangan. Ada yang beranggapan anak seolah-olah tidak diajar secukupnya. Padahal, aktiviti seperti inilah yang sebenarnya memaksa anak kita untuk berfikir, membuat keputusan, dan berani memberikan pendapat sendiri.

Ini jauh lebih berkesan daripada hanya duduk diam mendengar guru bercakap secara pasif. Perkara ini juga berkait rapat dengan penggunaan teknologi AI sekarang. Dalam zaman AI, apa-apa maklumat pun boleh diperoleh dalam sekelip mata.

Namun, AI tidak boleh membantu anak kita untuk menilai atau menyusun idea dengan bijak jika otak mereka tidak dilatih untuk berfikir sendiri. Jika kita masih lagi mengukur kejayaan anak berdasarkan berapa banyak yang mereka boleh hafal, AI hanya akan menjadi jalan pintas untuk mereka lulus peperiksaan tanpa memahami apa-apa.

Sebenarnya, masalah utama kita adalah kita terlalu fokus untuk menghabiskan silibus atau memastikan kerja sekolah anak siap, sehingga kita terlupa untuk bertanya adakah mereka benar-benar faham apa yang ditulis. Di rumah, kita jarang memberikan peluang untuk anak bercerita semula apa yang mereka belajar mengikut gaya mereka sendiri.

Kita pula cenderung mahukan anak menguasai segalanya dalam satu malam, sedangkan otak manusia perlu belajar sedikit demi sedikit untuk kekal di ingatan. Lebih menyedihkan, apabila kita mula membandingkan anak dengan anak jiran atau rakan sebaya, kita sebenarnya sedang menghantar mesej yang salah.

Anak-anak akan berasa diri mereka hanya berharga jika mendapat gred cemerlang, bukannya kerana ilmu yang mereka miliki. Akhirnya, mereka belajar kerana takut gagal, bukan kerana seronok untuk meneroka ilmu.

Kita boleh mula mengubah keadaan ini dengan cara yang sangat mudah. Cuba tukar soalan kita setiap kali anak balik dari sekolah. Jika selama ini kita selalu bertanya, “sudah siap kerja sekolah?” atau “dapat markah berapa?”, apa kata selepas ini kita tanya, “apa perkara paling menarik yang kamu belajar hari ini?”.

Galakkan mereka untuk “mengajar” kita semula apa yang mereka faham. Perbualan santai sebegini sebenarnya jauh lebih membantu otak anak untuk menyusun semula maklumat yang mereka dengar di kelas tadi. Ia mengajar mereka untuk mula berfikir dan membina kefahaman sendiri, bukannya sekadar menjadi robot yang menghafal nota semata-mata demi lulus peperiksaan.

Sudah sampai masanya kita menukar cara memandang anak-anak kita. Anak yang banyak bertanya bukan bermaksud kurang pandai, dan yang mengambil masa lama untuk faham bukan bermakna malas. Kita perlu membuang persepsi lama tentang belajar jika mahu melahirkan insan yang bijak berfikir.

Ilmu yang masuk kerana paksaan selalunya akan hilang sebaik sahaja peperiksaan tamat, tetapi ilmu daripada minat dan kefahaman akan kekal buat selama-lamanya. Jom kita ubah cara memberi sokongan dengan menghargai setiap soalan “kenapa” daripada mereka. Jangan biarkan mereka terus penat berusaha tetapi akhirnya kecewa hanya kerana kita mengajar dengan cara yang salah.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia


Dr Yasrul Izad Abu Bakar
Pensyarah Pendidikan Perubatan
Fakulti Perubatan
Universiti Sultan Zainal Abidin