
KANGAR, 6 Februari – Penghayatan al-Quran perlu terus diperkasa secara istiqamah oleh kerajaan negeri khususnya di Perlis sebagai teras pembinaan ummah dan melahirkan umat Islam berjati diri berlandaskan nilai Rabbani.
- Al-Quran kekal asli hingga hari kiamat dan menjadi asas pembinaan Insan Rabbani Bestari berlandaskan kebenaran mutlak.
- Al-Quran adalah perlembagaan agung yang membimbing urus hidup, pentadbiran masyarakat dengan adil, integriti dan hikmah.
- Kisah nabi dan pengajaran sejarah jadi pedoman rohani untuk keinsafan serta keteguhan iman.
- Mukjizat sains dalam al-Quran mengilhamkan kecemerlangan ilmu, mendorong pemikiran, kajian dan pentadbiran menurut syariat.
Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, keaslian al-Quran terpelihara hingga hari kiamat dan menjadi asas pembinaan ‘Insan Rabbani Bestari’ yang berpaksikan kebenaran mutlak.
“Al-Quran merupakan perlembagaan agung bersifat sejagat yang membimbing umat mengurus kehidupan serta mentadbir masyarakat dengan adil, berintegriti dan berhikmah.
“Kisah para nabi, ketabahan Maryam, Ashabul Kahfi serta pengajaran daripada kejatuhan Firaun dan Qarun bukan sekadar sejarah, sebaliknya pedoman rohani dalam membentuk keinsafan serta keteguhan iman,” titah baginda ketika merasmikan majlis penutup dan penyampaian hadiah Tilawah dan Hafazan al-Quran 2026/1447 Hijrah peringkat negeri di Dewan Warisan, di sini malam tadi.
Baginda bertitah, mukjizat sains dan alam dalam al-Quran membuktikan Islam menjunjung kecemerlangan ilmu, mengilhamkan manusia agar berfikir, mengkaji dan mentadbir alam mengikut syariat Allah SWT.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Pada majlis itu, Muhammad Anas Abdul Hadi dan Norsyafirah Jusoh diumumkan sebagai johan qari dan qariah.
Kedua-duanya membawa pulang wang tunai RM8,000, sijil, plak, hadiah iringan serta kurniaan daripada Raja Perlis serta Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid.