fb fb fb fb fb

Isteri lemas, suami dan anak saudara hilang jatuh bot

(FOTO RTM)

TUMPAT, 1 Julai-Seorang wanita maut, dua lagi hilang selepas bot yang dinaiki mereka tiba-tiba rosak menyebabkan mereka tercampak ke dalam Sungai Kelantan petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, Norawaddah Sulong, 30, ditemui meninggal dunia manakala suaminya, Wan Muhamad Najmi Wan Taib, 30 dan anak saudara, Amrullah Fitri Afendi, 10, masih hilang.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata,hanya anak perempuan mangsa, Wan Nur Ameena Wan Muhamad Najmi 14 bulan yang berada di dalam bot itu terselamat.

Menurut Amran,siasatan mendapati, tiga beranak itu menaiki sebuah bot untuk bersiar-siar di sekitar Sungai Kelantan.

Bagaimanapun katanya, enjin bot milik Wan Muhamad Najmi itu dikatakan mati mengejut menyebabkan ketiga-tiga mangsa tercampak ke dalam sungai.

"Ada saksi penduduk kampung memaklumkan bot tiba-tiba mati.

"Ketiga-tiga mangsa tercampak ke dalam sungai", katanya di sini.

Amran memberitahu, setakat ini, Wan Muhamad Najmi dan Amrullah Fitri masih belum ditemui.

Katanya, mayat Norawaddah dihantar ke Hospital Tumpat di sini untuk dibedah siasat manakala bayi terbabit turut dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut.

Operasi mencari dan menyelamat bersambung pagi ini bagi mencari dua lagi mangsa yang hilang.


(Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah)

Media Baharu