RIYADH, 29 April- Bank Pembangunan Islam (IsDB) berupaya memainkan peranan utama dalam menangani isu-isu substantif, melangkaui fokus asalnya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau berkeyakinan penuh terhadap kemampuan IsDB, diterajui kepimpinan baharu seperti dibuktikan sejak beberapa dekad lalu.
"Menangani isu substantif berkaitan teknologi baharu, mengenai keperluan untuk keterangkuman yang menjadi keutamaan sejak awal IsDB ditubuhkan sehingga kini untuk berkhidmat kepada ummah.
"Ini terutamanya mereka yang tercicir daripada segi pendidikan, latihan, peluang dan pemerkasaan ekonomi serta keusahawanan.
"Jadi ini adalah harapan kami," kata Anwar ketika menyampaikan ucaptama pada Sambutan Jubli Emas dan Majlis Makan Malam Gala Kumpulan IsDB di sini.
Tambah Anwar, Malaysia yang merupakan salah satu negara pengasas IsDB telah memberi sokongan penuh kepada inisiatif bank multilateral itu sejak ia ditubuhkan pada 1974.
Sehingga akhir 2023, bank yang dianggotai 57 negara itu telah meluluskan dana berjumlah AS$182.1 bilion untuk projek pembangunan di negara anggota dan komuniti Islam seluruh dunia.
Sementara itu, Anwar percaya IsDB akan menjadi penggerak utama kepada usaha pemulihan semula ekonomi negara Islam.
Ini terutamanya negara yang berdepan konflik seperti Palestin.
"Walaupun wujud harapan untuk penyelesaian kepada konflik di Gaza selepas mengalami kekejaman oleh rejim Israel, setelah ini diselesaikan, IsDB akan dilihat sebagai pemain yang hebat dan bersama-sama dengan kerajaan untuk mencuba dan memulihkan ekonomi," kata Anwar.