PORT DICKSON, 5 Oktober-Siasatan insiden kekecohan membabitkan sekumpulan warga Palestin yang ditempatkan di Wisma Transit, Kuala Lumpur, dengan anggota keselamatan baru-baru ini, masih diteruskan pihak berkuasa.
Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Seri Datuk Seri Mohammad Ab. Rahman berkata, insiden berkenaan tercetus disebabkan ketidakpuasan hati segelintir warga Palestin akibat pergerakan mereka dihadkan ketika berada di pusat perlindungan berkenaan.
"Jadi saya ingin menjelaskan bahawa kejadian yang melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur baru-baru ini.
"Kita masih melaksanakan siasatan penuh berkenaan perkara ini dan saya ingin tegaskan di sini ia merupakan kes yang terpencil dan akan ditangani dengan profesional", katanya demikian pada Majlis Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 Tahun 2024 di Kem Segenting, di sini.
Ujarnya, kesemua 127 orang warga Palestin termasuk 41 orang pesakit yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza yang tiba di negara ini pada 16 Ogos lalu, telah menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, dan hanya empat warga Palestin yang masih menerima rawatan susulan di hospital tersebut.
Rabu lalu, sekumpulan warga Palestin didakwa bertindak kasar dengan membaling selipar ke arah salah seorang pegawai penguat kuasa dan merosakkan harta benda premis berkenaan dipercayai kecewa selepas tidak diizinkan untuk menginap di luar WTKL.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini, perkara terbabit membuatkan kumpulan berkenaan 'naik angin' sehingga mencetuskan kekecohan di hadapan balai pengawal WTKL bersama keluarga serta rakan lain.