fb fb fb fb fb

Selangor harap projek penting tersenarai dalam Belanjawan 2025

Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM, 5 Oktober- Selangor berharap beberapa projek penting di negeri itu dimasukkan dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober nanti.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, antara projek itu ialah Projek Tebatan Banjir Sungai Langat serta Projek Pembangunan Semula Lapangan Terbang Subang.

"Negeri Selangor turut menyenaraikan projek penting contohnya projek tebatan banjir sambungan untuk projek Sungai Langat dan sebagainya untuk melengkapkan proses tebatan banjir daripada daerah Hulu Langat sampai ke daerah Sepang.

"Setakat ini fasa satu sudah selesai, fasa kedua sedang berjalan dan kita perlu penambahbaikan. Begitu juga peningkatan projek sedang dalam pembangunan semula. Contohnya Lapangan Terbang Subang membantu kita dalam membangunakan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau operasi bersepadu Jabatan Imigeresen Malaysia Negeri Selangor di sini.

Amirudin turut berharap agar bidang semikonduktor mendapat insentif yang besar berikutan negeri itu mempunyai langkah agresif terhadap bidang tersebut.

Pada masa sama beliau berharap dana tertentu dalam meningkatkan taraf Jalan Persekutuan di Selangor dapat disenaraikan dalam Belanjawan 2025.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI