PUTRAJAYA, 25 Mac- Kementerian Komunikasi menawarkan Insentif Rebat RAHMAH secara sekali bayar kepada anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) meliputi anggota beruniform dan awam yang berkhidmat dengan PDRM, sempena Hari Polis Ke-218.
Inisiatif Kerajaan MADANI tersebut dijangka memberi manfaat kepada lebih 127,000 anggota PDRM.
Kementerian Komunikasi memaklumkan, anggota PDRM yang mendaftar pelan pascabayar (postpaid) akan menikmati rebat dalam bentuk tanggungan pembayaran bil selama satu bulan, sama ada pada bulan April, Mei atau Jun bergantung kepada tarikh kitaran bil penerima rebat.
Manakala, anggota PDRM yang melanggan pakej prabayar (prepaid) pula akan menerima tambah nilai prabayar minimum RM30 secara one-off dan kaedah pemberian rebat adalah berbeza mengikut syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi.
"Pemberian Insentif Rebat RAHMAH secara one-off kepada anggota PDRM disokong oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications, Tune Talk, redONE dan XOX Com", menurut kenyataan itu.
Insentif itu sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI bagi mengiktiraf dan menghargai pengorbanan anggota PDRM atas komitmen dalam menjalankan tugas untuk menjaga kesejahteraan rakyat serta keselamatan negara.
Maklumat lanjut mengenai insentif ini akan diumumkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi masing-masing.
Senarai soalan lazim (FAQ) boleh dirujuk menerusi laman sesawang Kementerian Komunikasi di pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.