fb fb fb fb fb

Insentif HPA suntik motivasi penjawat awam sambung pengajian lebih tinggi

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 16 Ogos - Hadiah Pengiktirafan Akademik (HPA) kepada penjawat awam dilihat mampu memperkukuh sektor perkhidmatan awam serta meningkatkan tahap kecekapan profesional.

Ikon Bahasa Melayu Negara, Lim San Shien berkata, insentif kewangan yang diumumkan kerajaan bukan sahaja menjadi dorongan, malah motivasi kepada penjawat awam untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Ini berita positif untuk Malaysia kerana kerajaan memberikan insentif sebagai dorongan dan galakan kepada penjawat awam meningkatkan tahap pendidikan mereka.

"Antaranya daripada Diploma ke Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana Muda ke Ijazah Sarjana, dan daripada Ijazah Sarjana ke Ijazah Kedoktoran (PhD).

"Langkah ini memangkinkan semangat mereka untuk terus belajar, mendalami ilmu serta mengaplikasikannya dalam perkhidmatan awam," katanya ketika dihubungi Berita RTM hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan HPA kepada penjawat awam yang memulakan dan menamatkan pengajian dengan perbelanjaan sendiri di peringkat lebih tinggi.

Insentif kewangan sekali sepanjang perkhidmatan itu membabitkan RM1,250 bagi ijazah kedoktoran; RM1,000 (Sarjana); RM750 (Sarjana Muda) dan RM500 bagi Diploma atau setaraf.

GRACE AISYAH KEDAYAN