fb fb fb fb fb

Inisiatif penyediaan lokar disambut baik golongan pendidik dan pelajar - KPM

GOMBAK, 5 Oktober- Fasa pertama penyediaan lokar bagi mengatasi isu beg sekolah berat telah bermula.

Pelaksanaannya membabitkan 626 sekolah rendah dua sesi seluruh negara.

Kerja-kerja pemasangan dijangka siap sepenuhnya, akhir bulan ini sekali gus memanfaatkan hampir 250,000 murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata penyediaan lokar untuk fasa pertama dengan kos RM37.3 juta hanya melibatkan murid darjah satu dan dua.

Fasa kedua dijadual bermula tahun depan pula, membabitkan murid tahun tiga hingga enam.

"Kegunaan lokar adalah untuk memudahkan urusan anak-anak khususnya dalam konteks pendekatan pembelajaran yang sedikit berbeza dan bertema. Tidak semua dan bukan setiap masa mereka menggunakan buku teks. Jika buku teks dalam lokar, bila-bila sahaja mereka boleh ambil. Jadi, Ini memerlukan kerjasama semua pihak.

Ada tujuh inisiatif yang dilakukan KPM. Pertama adalah penyediaan lokar. Kedua, penyusunan jadual waktu bagi murid Tahap 1 (Tahun 1, 2 dan 3), meminimumkan jumlah mata pelajaran, paling banyak pun empat mata pelajaran sekali gus mengurangkan jumlah buku yang perlu dibawa," kata Radzi Jidin kepada media hari ini selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Lokar Fasa Pertama di Sekolah Kebangsaan Gombak Setia, Selangor.


(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin bersama murid SK Gombak Setia menunjukkan lokar yang diterimanya)

Bagi guru-guru, inisiatif ini amat disambut baik kerana dapat meringankan beban murid untuk hadir ke sekolah.

"Kegunaan lokar ini adalah murid-murid tidak perlu membawa semua buku teks ke sekolah sebaliknya boleh tinggalkan di dalam kelas dan hanya perlu ambil ketika diperlukan. Selain itu, dengan adanya lokar ini, ia dapat mendidik murid-murid lebih bertanggungjawab dalam menyusun buku dan murid-murid datang ke sekolah dalam keadaan seronok, tak perlu pikul buku yang berat," kata Zaidah Abdul Talib, Guru Besar SK Gombak Setia.

"Banyak manfaat menerusi inisiatif ini iaitu dari segi kurangkan beban dan tekanan pelajar sekali gus membawa kebaikan terhadap fizikal dan mental untuk generasi akan datang. Ibu bapa pun gembira, tidak risau tentang anak nak ke sekolah," kata Siti Noor Hajar Abdul Hamid, guru SK Gombak Setia.

(
(Guru Besar SK Gombak Setia, Puan Zaidah Abdul Talib)

 

Media Baharu