
PUTRAJAYA , 2 April – Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) yang dijadualkan bermula 15 April ini mendapat reaksi positif daripada penjawat awam yang menyifatkannya sebagai langkah proaktif kerajaan dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
- Mengurangkan beban kewangan penjawat awam melalui penjimatan kos bahan api dan kos perjalanan harian.
- Menjimatkan kos operasi pejabat sekaligus mengurangkan perbelanjaan kerajaan.
- Memberi fleksibiliti masa, mengurangkan tekanan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan keseimbangan kerja dan keluarga.
- Menunjukkan sektor awam kekal produktif sambil kerajaan mengimbangi kebajikan penjawat awam dengan situasi ekonomi semasa.
Inisiatif tersebut dilihat bukan sahaja mampu mengurangkan beban kewangan kakitangan awam, khususnya melibatkan kos bahan api, malah berupaya meningkatkan kecekapan kerja serta keseimbangan kehidupan dan kerjaya
Salah seorang penjawat awam yang ditemui RTM, Muhammad Razif Ruba’ai menyifatkan pelaksanaan BDR memberi impak menang-menang kepada kerajaan dan kakitangan melalui penjimatan kos pengoperasian pejabat serta kos perjalanan harian.
“Kami menyambut baik BDR yang disarankan kerajaan kerana kita boleh membantu menjimatkan kos pengoperasian pejabat, selain penjawat awam sendiri dapat menjimatkan kos perjalanan pergi dan balik kerja.”jelasnya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini.
Bagi Hazima Nadia Muhammad Muhtar pula, Inisiatif berkenaan amat membantu penjawat awam yang berkeluarga melalui fleksibiliti masa yang ditawarkan, sekali gus mengurangkan tekanan akibat kesesakan lalu lintas.
“Bagus untuk keluarga, terutama ibu bapa yang ada anak sekolah. Ia beri fleksibiliti masa, kurang stres perjalanan dan penting untuk work-life balance.”
Sementara itu, Akmal Imran Nor Yazit berpandangan langkah tersebut tepat pada masanya memandangkan situasi ketidaktentuan ekonomi semasa dan peningkatan harga minyak.
“BDR ini bagus kerana kita dapat jimat bahan api, kurangkan perjalanan dan masih boleh kekal produktif bekerja dari rumah walaupun dalam keadaan kos meningkat”, ujarnya.
Tambahnya, BDR membuktikan bahawa sektor awam mampu kekal produktif dan menyesuaikan diri dengan norma kerja fleksibel tanpa menjejaskan kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Langkah berkenaan secara tidak langsung mencerminkan kesediaan kerajaan dalam mengimbangi kebajikan penjawat awam dengan keperluan ekonomi semasa yang mencabar.