Industri kenaf terus diperluas di Sabah, Sarawak


Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad / BERNAMA

KOTA BHARU, 10 Mac- Tanaman kenaf akan diperluas ke Sabah dan Sarawak, bagi meningkatkan pengeluaran fiber, biji benih serta makanan ternakan melalui pembukaan ladang berskala besar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sarawak: projek dengan Juta Walet melibatkan 234 hektar untuk pengeluaran fiber, biji benih dan makanan ternakan.
  • Tambahan potensi Sarawak: 500 hektar di Miri dan Sarikei serta kira-kira 150 hektar melalui Texo Engineering.
  • Sabah: kerjasama SLDB, potensi sekitar 200 hektar di Sook Keningau; plot percubaan 5 hektar Mei untuk makanan ternakan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata langkah itu jug dijangka memperkukuh rantaian industri kenaf negara, selain membuka peluang ekonomi baharu kepada komuniti setempat.

“Kita telah Lembaga Kemaf membuat penelitian lebih lanjut lagi. Kenaf ini kita lihat ia berpotensi untuk dikembangkan lagi dan Insya-Allah selepas ini Sabah dan Sarawak juga antara kawasan fokus untuk penanaman kenaf,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Program Lawatan dan Majlis Berbuka Puasa di sini.

Di Sarawak, projek tanaman kenaf akan dilaksanakan menerusi kerjasama dengan syarikat Juta Walet Trading and Services melibatkan keluasan 234 hektar bagi pengeluaran fiber, biji benih dan makanan ternakan.

Selain itu, terdapat potensi tambahan seluas 500 hektar di kawasan Miri dan Sarikei serta kira-kira 150 hektar lagi melalui syarikat Texo Engineering.

Manakala di Sabah, pembangunan kenaf dilaksanakan dengan kerjasama Sabah Land Development Berhad (SLDB) dengan potensi keluasan tanaman sekitar 200 hektar di daerah Sook, Keningau.

Sebagai permulaan, plot percubaan seluas lima hektar akan dimulakan pada Mei ini bagi pengeluaran makanan ternakan melalui anak syarikat SLDB.

Menurut Datuk Seri Dr Noraini, pusat pemprosesan biji benih dan makanan ternakan turut akan dibangunkan bagi menyokong perkembangan industri kenaf di negeri berkenaan.