fb fb fb fb fb

Indikator KSH akan diguna untuk menilai tahap kos sara hidup

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 2 Julai- Pengukuran tahap kos sara hidup rakyat akan dinilai semula menggunakan indikator Kos Sara Hidup (KSH) berbanding sebelum ini yang menggunakan Indeks Harga Pengguna (IHP)

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata indikator KSH yang menggunakan Poverty Line Income Modified (PLI - Modified) telah dibangunkan oleh International Labour Organisation (ILO) pada tahun 2021. 

Ia turut memperincikan corak perbelanjaan pengguna berdasarkan kepada keperluan, gaya hidup dan pilihan setempat serta ciri-ciri demografi seperti jantina, umur, etnik, status orang kurang upaya (OKU) dan sebagainya.

"Pertamanya keadaan semasa menuntut ada perubahan, ada keperluan di Kuala Lumpur tidak sama dengan keperluan di Hulu Terengganu.

"Oleh itu, indeks harus diubah suai dan ini sedang dilakukan berdasarkan keputusan mesyuarat yang kita adakan pada bulan Mac yang lalu iaitu menetapkan kaedah kos sara hidup yang selari dengan perkembangan semasa.

"Maknanya pendapatan garis kemiskinan harus diubah. PLI ini sebahagian daripada kos sara hidup terutama bagi kategori yang paling miskin, tetapi sebagaimana yang dibangunkan oleh ILO pada 2021, harus ada penyesuaian atau justifikasi PLI, kerana kalau mengikut indikator kategori PLI India, kita semua sudah lepas, tapi takrif kita jauh lebih tinggi", ujar Datuk Seri Anwar di Dewan Rakyat.

Menurut beliau, pengiraan indikator tersebut akan melibatkan 13 negeri dan 3 Wilayah Persekutuan, 162 daerah pentadbiran serta mengikut lokasi bandar dan luar bandar dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur digunakan sebagai asas perbandingan relatif.

Indikator baru tersebut dijangka akan diumumkan November tahun ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid mengenai perkembangan terkini indikator baharu bagi mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah yang digerakkan pada Mac 2024 di Parlimen.

ROSLINA BINTI DIN