fb fb fb fb fb

Imam tarawih: Keutamaan diberi kepada huffaz tempatan

Masjid dan surau di Perak digalakkan untuk mengutamakan imam tempatan bagi solat tarawih berbanding menjemput imam dari luar negara / Foto Hiasan

IPOH, 27 Februari – Masjid dan surau di Perak digalakkan untuk mengutamakan imam tempatan bagi solat tarawih berbanding menjemput imam dari luar negara.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini berkata imam dari negara asing yang dijemput perlu mendapatkan tauliah daripada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau turut menggesa agar masjid dan surau memberi keutamaan kepada pelajar-pelajar tahfiz tempatan untuk mengimamkan solat tarawih.

“Murid-murid tahfiz kita bertanya, mereka sudah menjadi hafiz tetapi mengapa masjid mengambil imam luar untuk solat tarawih? Kita perlu mengutamakan imam tempatan sebagai tanda penghargaan kepada mereka. Namun, sekiranya ingin menjemput imam luar, mereka perlu melalui prosedur permohonan dan mendapat kelulusan daripada Sultan Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pengumuman Kadar Fitrah Tahun 1446H/2025M serta peluncuran awal Aplikasi MAIPk Bestari di Kompleks Islam Darul Ridzuan, di sini.

Sebelum ini, Selangor dan Terengganu telah mengumumkan larangan penggunaan khidmat imam dari luar negara sepanjang bulan Ramadan dan mengutamakan huffaz tempatan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN