fb fb fb fb fb

Ilmuwan Islam negara perlu jadi contoh kepada masyarakat

FOTO BERNAMA

SEREMBAN, 31 Oktober - Para ilmuwan Islam di negara ini perlu menjadi contoh kepada masyarakat serta berperanan besar membantu Kerajaan MADANI menjayakan Kempen Kalimah Tayyibah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata melalui penyampaian dakwah yang menggunakan bahasa dan tutur kata yang baik serta sopan mampu membentuk peribadi dan tingkah laku individu yang berakhlak mulia 

"Kita mahu mendidik masyarakat bila bercakap, contohnya antara golongan muda dengan golongan yang lebih tua, ada sifat hormat menggunakan bahasa yang baik. Sebab kalau kita tengok di media sosial, ada sekolah yang kita tengok bagaimana anak murid menggunakan bahasa yang agak kesat kepada guru mereka. Jadi ini satu keadaan yang kita perlu betulkan.

"Jadi, Jaulah Dakwah ini adalah sebahagian usaha kita nak ajak golongan ilmuwan turun dengan kita dan kita ajak masyarakat untuk membentuk akhlak yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penutup Program Jaulah Al-Falah Siri 3 di sini.

Beliau turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM80,000 kepada lebih 10 buah maahad tahfiz dan madrasah di sekitar Negeri Sembilan melalui Tabung Musa’adah JAKIM – YWM bagi memperkukuh usaha dakwah dan pendidikan Islam di seluruh negara.

Program anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu menghimpunkan para ulama, asatizah, huffaz, pelajar pondok, dan mahasiswa meningkatkan kefahaman Islam yang berteraskan al-Quran dan al-sunah.

Pelbagai pengisian rohani dan ilmiah diadakan seperti Tadabbur Al-Quran, Forum Al-Falah bertemakan "Santri Menuju Negara Gemilang", Kuliah Maulid, serta sesi ilmu bersama para ulama ternama termasuk Syeikh Mukhtar Jamil Al-Yamani, Syeikh Niyaz Ahmad Al-Adeni, dan Raja Ahmad Mukhlis Al-Azhari.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM