
KUALA LUMPUR, 3 April – Peruntukan hukuman terhadap pemandu mabuk khususnya pemandu yang mengakibatkan kemalangan maut perlu diperketat, bagi memberi pengajaran serta membangkitkan rasa gerun dalam kalangan masyarakat.
- Azalina Othman Said: undang-undang sedia ada tidak memadai untuk kesalahan menyebabkan kematian.
- Beliau menekankan perlu memperkukuh kesedaran rakyat untuk patuh peraturan dan elak melakukan kesalahan jalan raya.
- Cadangan pindaan akta bagi menetapkan hukuman lebih berat dan setimpal akan dibawa ke Parlimen untuk penilaian.
- Seksyen 302: peruntukan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun, termasuk sekurang-kurangnya 12 sebatan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berpandangan, peruntukan undang-undang sedia ada masih tidak memadai berbanding kesalahan yang dilakukan, apatah lagi sehingga menyebabkan kematian mangsa yang tidak bersalah.
Beliau menekankan, kesedaran rakyat untuk mematuhi peraturan serta mengelak daripada melakukan kesalahan perlu diperkukuh, melalui undang-undang yang lebih tegas dan setimpal.
“Dari segi undang-undang sedia ada, hukuman terhadap kesalahan jalan raya memang agak rendah, terutama bagi kes yang melibatkan kematian. Sebagai pengamal undang-undang, saya melihat kadang-kadang perlu ada pindaan supaya undang-undang menetapkan dengan jelas: ini kesalahan, itu denda.
“Rakyat kena faham hukuman undang-undang. Jika denda rendah, mereka mungkin rasa boleh bayar sahaja. Jadi, pindaan yang menetapkan hukuman berat amat perlu. Kementerian berkaitan boleh meneliti akta sedia ada dan membawa cadangan pindaan ke Parlimen untuk menetapkan hukuman yang lebih berat dan setimpal,” katanya kepada media selepas menghadiri Persidangan Persatuan Pendidikan Perundangan Komanwel (CLEA) 2026 di ibu negara.
Beliau mengulas mengenai kes melibatkan seorang pembantu makmal, R.Saktygaanapathy, 28 tahun, yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang, Rabu lalu, atas tuduhan membunuh seorang penunggang motosikal di Jalan Raya Barat, Klang.
Lelaki itu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah, dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyebabkan kematian Amirul Hafiz Omar, 33 tahun, pada Ahad lalu.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, termasuk sekurang-kurangnya 12 sebatan jika tidak dijatuhi hukuman mati.