fb fb fb fb fb

Hujan lebat berterusan, 11 tempat dinaiki air, tanah runtuh dikesan di Selangor

(Kawasan perumahan di Kampung Sungai Pening di Semenyih dinaiki air berikutan hujan
lebat sejak pukul 11 malam pada Rabu/FOTO JBPM)

KUALA LUMPUR, 17 November- Hujan lebat di sekitar Selangor bermula tengah malam tadi mengakibatkan 11 lokasi di negeri itu dinaiki air manakala satu kejadian tanah runtuh dikesan berlaku.

Hujan lebat bermula kira-kira pukul 11.00 malam berterusan sehingga awal pagi ini mengakibatkan beberapa kawasan sekitar Klang, Shah Alam, Puchong dan Kajang dinaiki air dengan tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, antara kawasan dinaiki air ialah Jalan Kampung Landasan Bukit Kuda dan Taman Sentosa, Klang; Kampung Sri Aman dan Putra Height Harmoni 1, Puchong; Taman Chi Liung, Teluk Pulai dan Taman Maznah kawasan Kota Raja.

Katanya, air turut dikesan naik di Taman Pasir Mas, Jalan Seroja, Jalan Reko dan Taman Teknologi Kajang, Kajang; Bukit Lanchang, Taman Sri Muda dan Jalan Kebun, Shah Alam serta Kampung Sungai Pening dan Sungai Lalang, Semenyih.

Menerusi satu kenyataan, Norazam berkata, pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, menerima beberapa panggilan banjir bermula pukul 12.26 tengah malam tadi.

"Seramai 130 pegawai dan anggota JBPM, dengan aset logistik membabitkan 20 bot, empat lori, 10 utiliti dan lapan jentera digerakkan ke semua lokasi banjir dan tanah runtuh.

"Sehingga jam 3.30 pagi tadi, lebih 31 penduduk terjejas banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air. Tiga PPS berkenaan dibuka di Masjid Kampung Johan Setia, Bandar Bukit Tinggi 2 dan Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih.

(FOTO JBPM)

"Kenaikan air yang paling dalam dikesan di pada paras dua kaki di Jalan Landasan Kampung Bukit Kuda, Klang manakala bacaan air terendah dikesan pada paras 0.3 meter di sekitar Taman Sri Muda, Jalan Kebun dan Kampung Bukit Lanchong.

"Selain penduduk terjejas banjir, JBPM Selangor juga turut memberi tumpuan kepada golongan warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) dan operasi pemindahan penduduk terjejas masih dilaksanakan sehingga pukul 4 pagi ini," katanya.

Dalam pada itu, Norazam berkata pihaknya turut mengesan trend air mula menurun di beberapa lokasi selepas hujan lebat mulai reda.

Selain kawasan dinaiki air, Norazam  turut mengesahkan satu kejadian tanah runtuh dikesan di Taman Sri Jelok, Kajang.

"Sepasukan pegawai dan anggota Balai Bomba Penyelamat Kajang, digerakkan untuk membantu mengeluarkan empat mangsa dalam kejadian tamah runtuh di rumah teres dua tingkat itu.

"Tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan sehingga kini pegawai dan anggota JBPM Selangor masih ditempatkan di kawasan-kawasan berisiko," katanya.

Media Baharu