PUTRAJAYA, 3 Februari - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan berterusan di timur Sabah serta tengah dan barat Sarawak bagi tempoh 5 hingga 7 Februari ini.
Ini susulan analisis kaji cuaca dikeluarkan oleh MetMalaysia bersama Pusat Ramalan Cuaca Julat Sederhana Eropah (ECMWF) dan Sistem Ramalan Global (GFS) yang menunjukkan luruan angin timuran di rantau negara hingga 9 Februari ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini turut meramalkan cuaca lembap dan hujan di beberapa daerah pesisir negeri pantai timur Semenanjung iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang pada sebelah pagi.
Manakala di negeri pantai barat Semenanjung seperti Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pula dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang.
Negeri di utara Semenanjung pula diramalkan mengalami cuaca panas dan hujan yang kurang.
Amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama juga telah dikeluarkan bagi perairan Laut China Selatan dan Laut Sulu berkuat kuasa hingga 7 Februari ini.