fb fb fb fb fb

Bantuan kewangan kepada PKS terjejas banjir disalur menerusi persatuan



KUALA SELANGOR, 2 Februari- Bantuan kewangan kepada usahawan Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terjejas banjir akhir tahun lalu akan disalur melalui persatuan yang mewakili mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar memaklumkan, kementeriannya akan mengadakan perbincangan bersama persatuan usahawan Selasa depan untuk mengetahui lebih terperinci jumlah sebenar ahli yang memerlukan bantuan.

"Kita akan panggil wakil-wakil persatuan dan dewan perniagaan untuk sama-sama berbincang. Kalau mahu lebih berkesan penyampaian bantuan elok melalui persatuan kerana mereka lebih tahu butiran ahli-ahli di bawah persatuan.

"Jika kita beri secara terus dibimbangi tidak dapat sampai kepada yang betul-betul memerlukan dan ia seolah-olah membelakangi persatuan kerana persatuan ditubuhkan untuk menolong ahli dan saya rasa ini cara terbaik," katanya selepas merasmikan Pejabat Urusan Chinta Rich Empire di sini.

Sementara itu, Noh berkata, syarikat perniagaan harus beri peluang kepada warga tempatan untuk diserapkan bekerja dalam organisasi mereka.

Noh juga meminta syarikat perniagaan untuk menjaga kebajikan dan membimbing warga tempatan supaya mereka mempunyai minat terhadap pekerjaan dilakukan, ia dapat membentuk kakitangan berkemahiran yang boleh diserapkan dalam pengurusan cawangan syarikat di lokasi yang berbeza.

“Kita harus akui majikan sekarang menghadapi masalah pekerja. Peluang pekerjaan diberikan kepada mereka yang bersungguh-sungguh dan diberi peluang membuka cawangan baharu di mana cawangan itu akan diuruskan oleh pekerja-pekerja yang sedia ada,” katanya.

Media Baharu