fb fb fb fb fb

HSA ajak orang ramai derma darah

JOHOR BAHRU, 29 Mac- Jabatan Perubatan Transfusi, Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini mengajak orang ramai tampil menderma darah bagi memastikan bekalan sentiasa mencukupi dan melebihi daripada paras selamat, khususnya sepanjang Ramadan ini.

Ketua Jabatan Perubatan Transfusi HSA, Dr Mohamad Mizan Gusari berkata bekalan itu perlu bagi menampung keperluan prosedur transfusi darah termasuk kes kemalangan, pembedahan dan rutin seperti pesakit talasemia.

Beliau berkata HSA bukan sahaja membekalkan darah kepada pesakit di hospitalnya, malah kepada empat hospital minor di Johor serta 20 hospital swasta yang mempunyai perjanjian pembekalan.

"HSA akan turut terkesan akibat kekurangan bekalan darah pada bulan puasa dan mengikut data tahun lepas, sebanyak 25 peratus penurunan jumlah kutipan darah berlaku apabila menjelang Ramadan.

"Justeru, melalui kempen pendermaan darah anjuran HSA semasa Ramadan ini, kami berharap agar ramai penderma konsisten dan penderma baharu tampil bagi membantu pihak hospital mengatasi masalah kekurangan bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

(HSA bukan sahaja membekalkan darah kepada pesakit di hospitalnya, malah kepada empat
hospital minor di Johor serta 20 hospital swasta yang mempunyai perjanjian pembekalan/Foto Hiasan)

Dr Mohamad Mizan berkata orang ramai yang ingin menderma darah boleh hadir ke Pusat Pendermaan Darah HSA di Jalan Mahmoodiah di sini dan Johor Bahru Blood Donation Suite di The Mall Mid Valley Southkey di sini atau menerusi kempen derma darah bergerak di seluruh negeri.

"Warga Johor yang sihat dan berumur antara 17 hingga 60 tahun amatlah dialu-alukan untuk menderma darah dengan hadir secara terus, tanpa perlu membuat sebarang janji temu.

"Bagi umat islam yang berminat untuk menderma darah, mereka disaran berbuat demikian sebelum 9.30 pagi," katanya sambil menambah setiap beg darah yang didermakan mampu menyelamatkan tiga nyawa.

Maklumat lanjut berkaitan aktiviti dan kempen derma darah boleh didapati menerusi Facebook Jadual Kempen Derma Darah Johor Bahru dan Instagram @bloodbankhsajb.-BERNAMA

Media Baharu