KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Lima rasional dikenal pasti dalam pemilihan lokasi pembinaan Hospital Pengajar Universiti (HPU) di bawah universiti awam.
Antaranya termasuk merapatkan jurang perkhidmatan kesihatan antara bandar dan luar bandar, kedudukan di kawasan tumpuan pelancong serta memenuhi keperluan akademik.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, HPU Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang kini pada peringkat awal pembinaan di Kota Tinggi, Johor turut berperanan memperluaskan akses perkhidmatan perubatan kepada masyarakat.
“HPU USIM dapat membantu hospital sedia ada di kawasan tersebut untuk menampung keperluan rawatan kepakaran bagi hampir 200,000 penduduk setempat yang meliputi tujuh mukim iaitu Mukim Ulu Sungai Johor, Mukim Ulu Sungai Sedili Besar, Mukim Johor Lama, Mukim Kambau, Mukim Kota Tinggi, Mukim Sedili Besar dan Mukim Sedili Kecil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abbas di Dewan Rakyat, hari ini.
Datuk Mustapha menjelaskan, Kementerian Pendidikan Tinggi melalui USIM akan merangka pelan pembangunan infrastruktur akademik dan kemudahan fasiliti yang bersesuaian di HPU berkenaan.
Pelan tersebut merangkumi pembinaan bilik kuliah, makmal, perpustakaan serta penyediaan capaian teknologi pembelajaran terkini.